Social Icons

Monday 26 May 2014

Ajal 3 Hari Sebelum Nikah

AJAL 3 HARI SEBELUM NIKAH
Bagan Serai: “Dia begitu teruja menanti kenduri kahwin kami Ahad ini dengan semua barang hantaran sudah disiapkan.”

Demikian kata Norfaizah Mohd Rejab, 22, tunang kepada Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang terbunuh ketika bertugas selepas motosikalnya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, jam 1.15 petang semalam.

Lebih menyedihkan, kejadian berlaku hanya selepas kira-kira dua jam mangsa menghubungi Norfaizah dan selepas dua hari arwah menyambut hari jadinya.


Semalam adalah hari terakhir Mohd Azuan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, bekerja sebelum bercuti panjang untuk berkahwin.

“Saya hampir pitam mendengar berita kematiannya kerana lebih kurang jam 11 pagi (semalam), dia mengirimkan SMS meminta saya makan ubat jika berasa kurang sihat.

“Saya tidak menyangka perkenalan sejak kira-kira empat tahun lalu berakhir dengan cara begini,” katanya.

Norfaizah bagaimanapun reda dengan pemergian arwah dan berharap pengorbanannya ketika berkhidmat kepada masyarakat mendapat ganjaran sewajarnya.
“Sekarang semuanya ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’ dengan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar, Kedah, hujung minggu ini, bertukar menjadi kenduri arwah,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Azuan dan dua rakan masing-masing menaiki motosikal Kawasaki Ninja Unit Ronda Bermotosikal (URB) mengejar sebuah kereta Toyota Wish dinaiki tiga penjenayah yang dipercayai terbabit dalam rompakan van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, dekat situ.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kereta Honda Civic dinaiki rakan penjenayah itu.

Mangsa yang cedera parah di kepala, dada dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya tidak cedera.

Katanya, berdasarkan jarak pelanggaran dan kedudukan motosikal ditemui, polis percaya kejadian itu disengajakan dan dirancang.

“Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga berlaku kematian.

“Saya juga terkilan tidak sempat bertemu arwah atas kesibukan kerja, sedangkan dia beberapa kali menyatakan hasrat bertemu saya bagi menyerahkan kad jemputan perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat malam tadi sebelum di hantar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 27, Kulaijaya, Johor untuk dikebumikan.

Najib Razak digesa beri penjelasan skandal pinjaman RM40 juta


SHAH ALAM 26 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa memberi penjelasan berhubung pendedahan bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang mendakwa khidmatnya tidak disambung ekoran pinjaman bernilai RM40 juta dibuat seorang individu yang rapat dengan pentadbiran Najib, baru-baru ini.
Setiausaha DAP, Lim Guan Eng berkata Najib perlu menjelaskan kepada rakyat individu dimaksudkan mempunyai pertalian rapat dengan pemimpin BN dan mempunyai kuasa dalam Putrajaya.
Datuk-Seri-Najib-Tun-Razak1Selain itu, katanya, Najib juga perlu menjelaskan asas untuk Bank Rakyat meluluskan pinjaman terbabit.
“Adakah ia semata-mata politik atau adakah mengikut prosedur yang betul dengan mengikut peraturan yang digariskan sewaktu Bank Rakyat memberikan pinjaman RM40 juta ini kepada VIP itu.
“Najib perlu menjawab pinjaman begitu tinggi nilainya sebanyak RM40 juta senang-senang diberikan kepada seorang VIP tanpa kemampuan membayar semula atau sebarang kekuatan kewangan,” kata Guan Eng dalam kenyataan media.
Beliau berkata Najib juga harus menjelaskan apa yang terjadi kepada tawaran kompromi oleh individu itu selepas tempoh khidmat Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat tidak dilanjutkan.
“Adakah VIP tersebut dibenarkan untuk membuat pembayaran semula secara 120 kali ansuran selama 10 tahun, tanpa faedah?,” katanya.
Lim berkata Najib perlu bersikap jujur dan mempertimbangkan kesemua perjanjian mudah dalam pemberian pinjaman mega kepada VIP yang mempunyai keadaan kewangan yang meragukan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan bahawa pemimpin BN menguruskan negara bukan untuk kebaikan orang ramai tetapi demi faedah kroni.
Sebelum ini, media mendedahkan perkara terbabit dan VIP itu turut menggunakan jaringan politiknya untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah.
 
Blogger Templates