Social Icons

Wednesday 4 June 2014

Cinta Fathia tidak di Restui Keluarga?

AIMAN adalah tempat untuk Fathia meluahkan segala masalahnya. 
 
JIKA dahulu mereka agak berahsia, kini tiada apa lagi yang mahu disorokkan selain cinta yang sedia dipamerkan. Bagi dua pelakon ini memang ada nada kelegaan bila mereka sudah mampu bercerita tentang hati dan perasaan sebenar.
Bagaimanapun meniti hari dalam kerjaya seni, Aiman Hakim Ridza, 26, dan kekasihnya Nur Fathia Latiff, 27, mahu kerjaya mereka lebih diberi perhatian. Tidak menolak semakin bahagia, namun itu bukan petanda bahawa hubungan mereka bakal beransur ke fasa perkahwinan.
Bercerita tentang kerjaya, dilihat dunia lakonan Fathia lebih menyerlah daripada Aiman. Bagaimanapun kelebihan itu nampaknya tidak mudah buat Fathia apabila dia kini dilabel artis bermasalah. Satu demi satu isu diperdengarkan, namun populariti pelakon cantik ini kekal.
Bagi Fathia sendiri , setelah bertahun menapak, dia tahu ini merupakan harga yang perlu dibayar dirinya.
Menolak cinta sebagai punca dia terus dilanda permasalahan ini, jelas Fathia, sesungguhnya kehadiran Aiman sedikit membantu dirinya dalam melalui waktu sukar.
"Pada mulanya saya dihambat perasaan takut. Apabila kita tidak buat apa, tetapi tetap dipersalahkan secara automatik benda itu tetap memberi kesan kepada saya.
"Lama juga saya mahu bina keyakinan diri, namun apa yang terus menguatkan saya adalah peminat. Mereka buat saya percaya dalam industri ini tidak semuanya manis namun mempunyai peminat setia adalah jawapan kepada persoalan itu," katanya.
Bukan sekali dua dia dikatakan mempunyai masalah, malah sudah beberapa kali kisah ini timbul.
Bagi Fathia, jika terlalu kecewa, pastinya dia sudah memilih kerjaya lain. Namun dia percaya berhadapan dengan masalah lebih baik dari melarikan diri.
"Saya tidak percaya bahawa diri saya adalah seorang yang sempurna. Sebab itu saya kutip setiap pengajaran itu sebagai pengalaman.
"Dalam dunia ini kita diberi dengan pelbagai pilihan. Saya sudah menetapkan pilihan itu.
"Tiada sebab untuk saya takut diadili manusia lain, memandangkan saya tahu yang saya jujur dengan diri saya," katanya.
Berbekalkan wajah kacukan Arab-Melayu, ternyata keindahan wajah wanita ini mudah menggamit perhatian.
Namun benarkah dek kerana kelebihan ini dia juga menjadi sasaran hasad dengki?
Percaya bahawa semua manusia mempunyai hati yang bersih, jelas Fathia, fokusnya kini adalah mencari keseimbangan diri.
"Bagi saya sama ada memang ada orang sebegitu ia bukan suatu masalah buat saya. Jujur saya masih lagi belajar. Mana boleh saya berjanji yang tiada kesilapan dalam waktu sekarang dan masa depan.
"Saya akan kekal di sini berkongsi bakat. Hanya peminat sahaja yang mampu mengatur perjalanan saya dalam dunia seni ini," katanya

No comments:

Post a Comment

 
Blogger Templates