Social Icons

Tuesday 3 June 2014

RADIO AJAIB

Radio Ajaib  
Gimik pelancaran Tonton Music oleh Zainul Arifin (tengah) bersama Seelan Paul (kanan) dan Sherina
.
Media Prima Berhad perkenal Tonton Music, tawar setengah juta lagu buat peminat

Berita baik bagi pencinta muzik! Media Prima Digital, Rangkaian Radio Media Prima dan Rangkaian Televisyen Media Prima memperkenalkan portal muzik sehenti format audio dikenali sebagai Tonton Music, khas bagi memenuhi kehendak penggemar hiburan masa kini.

Portal muzik terbaharu itu mempunyai ciri unik kerana ia juga dikatakan sebagai ‘Magic Radio’, yang dapat menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna melalui hiburan berbentuk audio secara ‘streaming’.

Bermula dengan pengenalan streaming secara video iaitu Tonton.com, kini tibalah masa kami memperkenalkannya dalam bentuk audio pula” Zainul Arifin Mohammed Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Media

Portal muzik ini menawarkan streaming audio secara percuma melalui gajet pintar di Malaysia. Selain itu, Tonton Music juga ialah portal pertama di dunia yang menampilkan integrasi media digital secara menyeluruh untuk fasa pertama.

Terkini, Tonton Music menawarkan hampir setengah juta lagu dan akan menambah jumlah sehingga 1.5 juta dalam masa terdekat. Lagu berkenaan pula bukan saja karya tempatan, malah turut membabitkan produk luar negara.

Sasar pendengar bawah 35 tahun

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa, berkata melihat kepada pertumbuhan permintaan yang tinggi untuk media digital masa kini, Media Prima Digital berbangga mengumumkan versi penuh produk terkini berkenaan.
“Bermula dengan pengenalan streaming secara video iaitu Tonton.com, kini tibalah masa kami memperkenalkannya dalam bentuk audio pula. Kita akan terus berusaha menawarkan pustaka muzik yang pelbagai dan menyeluruh untuk penggemarnya.

“Kami juga yakin portal muzik ini akan diterima ramai dan menguasai arena digital. Bagi meningkatkan mutu dan kualitinya, kita akan memperkenalkan ciri baharu dan menarik kelak,” katanya pada majlis pelancaran portal terbabit di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima yang juga Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Seelan Paul; Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin; Pengurus Besar Kumpulan Media Prima Digital, Lam Swee Kim; Pengurus Besar Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Anida Tahrim dan Pengurus Besar TV9, Zurina Othman.

Portal video nombor satu

Media Prima Digital ialah sayap digital kumpulan Media Prima Berhad (MPB) yang bertanggungjawab terhadap inovasi Tonton.com iaitu portal video nombor satu di negara yang mempunyai lebih 3.7 juta pengguna berdaftar dengan catatan statistik sebanyak 1.5 juta pelayar bulanan.

Portal video itu juga berjaya mencapai lapan juta tontonan video bulanan dan 27.6 juta paparan halaman bulanan.

Hasil kejayaan itu, rangkaian radio di bawah MPB yang mempunyai tiga stesen iaitu Hot FM, Fly FM dan One FM menjadi penggerak kepada portal muzik dengan mensasarkan pendengar di bawah usia 35 tahun. Paling membanggakan apabila ketiga-tiga radio itu kini mempunyai hampir 4.4 juta pengikut di laman sosial utama dan ia pencapaian yang baik bersifat kompetitif, agresif tetapi peribadi.

Evolusi teknologi terkini

Sementara itu, Seelan berkata, inisiatif ini adalah kerjasama pintar dan bijak apabila ia dapat menyatukan pencinta muzik yang juga pengguna teknologi digital tegar.

“Senario itu bukan saja sekadar ikutan semasa, tetapi ia membuktikan kepentingan evolusi teknologi yang sentiasa berubah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini. Portal ini akan memenuhi selera muzik masyarakat untuk mendengar pilihan lagu pada bila-bila masa dan di mana saja,” katanya.

Swee Kim pula berkata, seiring dengan penganjuran Anugerah Juara Lagu Ke-28 (AJL28) Januari lalu, penggemar muzik boleh mengakses Tonton Music untuk mendapatkan program utama termasuk acara anugerah berprestij berkenaan dalam versi ‘streaming’ audio.

Sehingga kini, Tonton Music berjaya merekodkan lebih 67,000 unit streaming untuk kedua-dua album rakaman dan langsung AJL 28 dalam masa 48 jam serta hampir 50,000 pelawat unik dalam masa sebulan.

Mudah akses lagu

“Selain itu, paling menarik Tonton Music ini juga dikenali sebagai Magic Radio kerana pendengar boleh mencipta susun lagu dengan senarai lagu dan segmen radio kegemaran. Pendengar boleh memilih tajuk lagu dan boleh menggunakan suara penyampai radio sedia ada (tiga radio di bawah MPB) untuk menyanyikan lagu berkenaan.

“Sebagai contoh, suara Fara Fauzana digunakan untuk menyanyi lagu dangdut berbanding menggunakan penyanyi asal lagu berkenaan. Selain itu, ketiga-tiga radio terbabit menawarkan ruang mudah bagi menyenangkan pendengar mengakses lagu yang dimainkan melalui frekuensi stesen berkenaan.

“Buat julung kalinya juga, segmen popular seperti Panggilan Hangit, Top 5 dan Krappi Call boleh didengari berulang kali melalui Magic Radio. Portal ini juga membolehkan pendengar mengenali barisan penyampai radio dengan mengklik ke atas profil mereka,” katanya.

Info: Tonton Music
* Boleh dilayari secara percuma, tetapi melalui fasa kedua yang bakal dilancarkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, pelayar boleh menikmati akses sepenuhnya tanpa iklan hanya dengan yuran langganan serendah RM4.99 sebulan.
* Tonton Music boleh dilayari di www.tontonmusic.com.my


No comments:

Post a Comment

 
Blogger Templates