KUALA LUMPUR –
Polis sedang melihat kemungkinan akan mendakwa ibu kepada Siti Soffea
Emelda Abdullah kerana cuai sehingga mengakibatkan kanak-kanak berusia
dua tahun itu dibunuh dengan kejam.
Sumber daripada
pasukan penyiasatan berkata, mereka mendapati wujud kenyataan
bercanggah daripada ibu kanak-kanak malang itu, Siti Salmy Suib, 32,
yang mendakwa dia meninggalkan anaknya itu kepada rakannya kerana mahu
ke tandas di pusat membeli-belah Kota Raya pada pukul 3 petang.
Apabila dia
keluar dari tandas lima minit kemudian, Siti Salmy mendakwa anak
perempuannya itu tiada bersama rakan-rakannya dan mula mencari anaknya
itu.
Dia turut mendakwa hanya mengetahui apa yang berlaku selepas polis menghubunginya pada malam kejadian.
“Bagaimanapun
apabila kami memeriksa rakaman CCTV, kanak-kanak perempuan itu dilihat
bermain sendirian apabila suspek melarikan mangsa.
“Tidak ada kawan-kawannya disekeliling. Mungkin ada, tapi mereka tidak ada di situ ketika kanak-kanak itu dilarikan.
“Kami sedang melihat kembali kenyataan dia, mungkin dia cuba menyembunyikan sesuatu untuk lindungi dirinya,” kata sumber itu.
Tambah sumber
itu lagi, rakaman CCTV menunjukkan seorang pengawal keselamatan sedang
memerhatikan suspek membawa pergi Siti Soffea namun tidak mengambil
apa-apa tindakan.
Kata sumber
berkenaan, menurut hasil rakaman percakapan pengawal keselamatan itu,
dia memberitahu bahawa kerap kali melihat kanak-kanak itu dijaga oleh
beberapa orang yang berbeza kerana Siti Soffea dan ibunya selalu berada
di tempat berkenaan.
“Kami mungkin
boleh mengaitkan ibu mangsa kerana cuai apabila kertas siasatan
dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” kata sumber itu.
Sementara itu
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng berkata,
polis masih menyiasat motif di sebalik kes pembunuhan kejam itu yang
berakhir apabila suspek ditemui mati lemas.
Sebelum ini
mayat Siti Soffea ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah daripada
badan berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun
Sambanthan kira-kira pukul 9 malam.
Polis turut menemui serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa di tempat kejadian.
Media sebelum
ini melaporkan saksi melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak
tersebut di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan
melakukan sesuatu pada leher mangsa.
No comments:
Post a Comment