AMPANG:
Vokalis Wings, Awie, hanya akan memberi penjelasan andai ada pihak lain
dapat membuktikan kaitan dirinya dengan laporan artis rock memukul
isteri di hadapan sebuah bank, baru-baru ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, menganggap perkara
berkenaan sebagai tuduhan kerana orang menuding kepadanya sedangkan
berita itu tidak menyebut siapa artis dimaksudkan.
“Saya tidak mahu komen apa-apa. Kalau betul berlaku pada
diri saya, biarkanlah, kecuali ada pihak lain buktikan. Adakah ia datang
daripada pihak terdekat atau orang luar? Tetapi andai tidak (benar),
ini tetap membabitkan rumah tangga saya. Saya boleh selesaikan sendiri
hal peribadi saya.
“Saya tidak boleh mendedahkan soal rumah tangga. Jika ada
(bukti) saya sedia dedahkan segala-galanya, namun bukan bermakna saya
mengiya atau menafikan.
“Buat apa saya mahu mengaku kerana dalam Malaysia ini,
bukan saya seorang saja penyanyi rock. Saya anggap cerita ini sebagai
tuduhan atau lebih tepat fitnah kerana cuba mengaibkan diri saya,”
katanya ketika ditemui pada majlis pelantikan dirinya sebagai duta air
minuman tenaga, di sini semalam.
Pada Sabtu lalu, akhbar BH melaporkan seorang penyanyi rock popular
memukul isterinya di khalayak ramai di sebuah bank, dekat sini, malah
sebelum itu wanita berkenaan lebih dulu ditampar namun hanya menjalani
rawatan beberapa hari kemudian.
Ditanya hubungannya dengan isteri yang dikahwini sejak 20 Jun 2005,
Rozana Misbun, 35, Awie akui rumah tangga mereka seperti pasangan lain
yang sentiasa berdepan pasang surut, namun enggan ulas lanjut kerana ia
hak peribadi.
“Rumah tangga saya biasa saja, sama macam orang lain. Lagikan lidah
boleh tergigit, inikan pula suami isteri. Memang kadang kala bermasalah
tapi biarlah hal dalaman itu saya simpan sendiri,” kata bapa kepada lima
cahaya mata daripada dua perkahwinan itu.
Menerusi perkahwinan pertama bersama penyanyi, Arni Nazira Anuar,
yang bertahan selama lapan tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata
yang kini berusia belasan tahun manakala dengan Rozana, pasangan itu
memperoleh tiga anak lapor Berita Harian.
Wednesday 11 June 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment