Hassan Karim
d/a Tetuan Hassan Karim & Co.,
Peguambela & Peguamcara
Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,
82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839 (H/P:0127931148)
Tarikh: 7hb Jun 2014
Kepada
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
Pejabat Menteri Besar Johor,
Aras 3, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad,
Kota Iskandar, 79000 Nusajaya, Johor
YAB Datuk Seri,
Asalamualaikum Saudara,
PER:RANG UNDANG-UNDANG LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH JOHOR
Dengan rendah hati saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Hassan
Karim seorang rakyat Johor, warganegara Malaysia yang tinggal di
Pontian, Johor serta beralamat seperti di atas.
2. Surat terbuka ini ditujukan dan dialamatkan kepada saudara selaku
Menteri Besar Johor. Saya ingin merujuk perkara yang tersebut di atas
iaitu mengenai Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor,
ringkasnya RUU (LPHJ).
3.
Saya mendapat maklum dari media bahawa pada hari Isnin ini 9.6.2014 RUU
(LPHJ) akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di
Nusajaya. RUU(LPHJ) itu jika diluluskan oleh DUN maka ia akan menjadi
satu enakmen yang mempunyai ciri-ciri, antara lainnya seperti berikut:-
(a) ia memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk menyelia akaun LPHJ;
(b) Sultan Johor mempunyai kuasa membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu;
(c) Sultan diberi kuasa menentukan jumlah elaun dan saraan ahli lembaga pengarah;
(d) Sultan diberi kuasa melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ.
5. Saudara sebagai Menteri Besar yang mempunyai pengalaman
bertahun-tahun dalam kabinet Kerajaan Persekutuan Malaysia tentu lebih
faham bahawa RUU (LPHJ) yang akan dibentangkan di DUN Johor ini adalah
bercanggah dengan konvensi sistem berkerajaan di Malaysia yang
mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
6. Saudara sebagai Menteri Besar Johor mestilah menjadi banteng untuk
mempertahankan kedua-duanya iaitu institusi Raja Berperlembagaan dan
Demokrasi Berparlimen. Saudara mesti mengambil apa juga langkah untuk
mengelakkan supaya Sultan Johor tidak terlibat dalam pentadbiran
kerajaan negeri secara langsung sebagai kuasa eksekutif. Ini untuk
mengelakkan Sultan Johor dari terdedah kepada penghinaan.
Sebagai contoh, sebagai seorang yang dilatih sebagai peguam, saudara
tentu faham bahawa jika Sultan diberi kuasa untuk membubar dan melantik
ahli lembaga pengarah LPHJ, maka keputusan Sultan itu adalah satu
keputusan eksekutif kerajaan dan ia boleh dicabar di mahkamah di dalam
prosiding Semakan Kehakiman (Judicial Review).
Sanggupkah saudara melihat kebawah duli Sultan Johor diheret ke
Mahkamah Sivil sebagai seorang responden oleh pihak-pihak yang berasa
terkilan apabila diberhentikan sebagai ahli lembaga pengarah? Jika ini
berlaku tidakkah Sultan akan terdedah kepada penghinaan? Jika saudara
masih sayangkan Sultan!
7. Saya ingin bertanya, adakah saudara mendapat nasihat perundangaan
dari Penasihat Undang-Undang Negeri Johor (PUNJ) apabila saudara sebagai
ketua Majlis Jemaah Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, mudahnya kerajaan
Johor hendak membentangkan RUU (LPHJ)?
Jika ada nasihat dari PUNJ, apakah nasihat mereka? PUNJ memikul
tanggungjawab sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan Johor.
Siapa yang menderaf RUU (LPHJ) ini? Adakah diteliti oleh PUNJ? Jika PUNJ
berkata “ Yes” sahaja terhadap RUU (LPHJ) itu nyata sekali PUNJ telah
melakukan satu kecuaian. Tapi ini satu spekulasi sahaja.
8. Jadi siapa sebenarnya yang menderaf, mendesak supaya RUU (LPHJ)
ini dibentangkan? Adakah Sultan Johor tahu? Adakah baginda setuju? Atau
adakah baginda Sultan yang mengarahkan supaya dibentangkan dengan
peruntukan seperti yang ada sekarang? Ini satu pertanyaan. Saudara mesti
telus. Perkara ini sudah jadi isu nasional.
9. Sekarang saudara perlu memikul satu lagi tanggungjawab. Saudara
jadi Menteri Besar kerana saudara menang sebagai calon di kawasan Dewan
Undangan Negeri Permas, dalam negeri Johor.
Parti politik saudara UMNO/Barisan Nasional menjadi parti yang menang
majoriti di DUN Johor. Saudara tidak berada di dalam DUN Johor kerana
dilantik oleh Sultan. Rakyat yang lantik saudara. Jadi saudara perlu
memikul satu lagi konvensi sistem bernegara dan bernegeri di Johor dan
Malaysia ini iaitu sistem Demokrasi Berparlimen.
10. Demokrasi berparlimen adalah secara mudah difaham ialah kuasa
rakyat yang memilik satu kerajaan iaitu kerajaan pilihan rakyat melalui
satu pilihanraya yang bersih dan adil. Jadi tugas saudara sebagai
Menteri Besar ialah sentiasa bersikap cermat, waspada, dan sentiasa
cemburu supaya kuasa kerajaan pilihan rakyat tidak diceroboh oleh pihak
istana. Bukan seperti apa yang berlaku sekarang.
Saudara telah buka pintu seluas-luasnya untuk Sultan berkuasa di
dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam satu bidang
yang amat penting dan strategik iaitu sektor perumahan dan hartanah.
Jadi saudara telah pecah amanah yang diberi oleh rakyat. Saudara
telah gagal untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Johor.
Perlu diingat, Johor bukan satu negeri berdaulat dan merdeka sendiri.
Johor adalah satu komponen dalam Persekutuan Malaysia yang merdeka.
11. Saudara selaku Menteri Besar perlu memikul tanggungjawab terhadap
isu ini yang boleh menjadi satu skandal perundangan dan perlembagaan.
Saudara perlu dipersalahkan sekiranya akhirnya institusi raja dan Sultan
Johor dihina rakyat. Saudara perlu melindungi hal seperti itu berlaku.
Ini memerlukan seorang Menteri Besar yang bijaksana, tegas dan
berpandangan jauh untuk menasihati Sultan, jika di pihak Sultan sendiri
yang begitu ghairah untuk mempunyai kuasa eksekutif. Saudara mesti
menasihati baginda.
12. Saudara selaku Menteri Besar patut turun padang dan mendengar
keluhan dan kegelisahan rakyat. Adakah saudara tahu bahawa di Johor
sekarang sudah menjadi satu rahsia umum bahawa Sultan Johor secara
langsung atau melalui nominenya atau proksinya terlibat dalam hal
perniagaan termasuk dalam sektor perumahan dan hartanah.
Saudara tentu sedar sektor hartanah terutamanya hartanah mewah sedang
berkembang pesat di Iskandar Malaysia? Saudara tentu sedar banyak
kawasan laut dan selat serta pantai sedang rancak di tambak di Johor
Bahru dan Iskandar Malaysia seperti di Nusajaya dan Gelang Patah, juga
Pengerang.
Adakah saudara sedar bahawa tanah-tanah yang ditambak itu kemudiannya
di jual kepada syarikat-syarikat pemodal asing dari Singapura, Hong
Kong dan China? Masakan saudara sebagai Menteri Besar tidak sedar
tentang hal ini atau saudara mahu menafikannya? Adakah saudara sedar ada
dakwaan bahawa Sultan Johor terlibat dalam menjual tanah-tanah itu
kepada syarikat milik asing?
13. Dengan saudara yang menerajui RUU (LPHJ) pada hari Isnin depan
ini, maka saudara yang mesti pikul tanggungjawab jika Sultan Johor akan
dipersoalkan oleh rakyat.
Jika Sultan Johor terlibat dengan perniagaan dalam bidang hartanah,
dan enakmen baru jika diluluskaan memberikan baginda kuasa ke atas
urusan pentadbiran hal perumahan dan hartanah, tidakkah itu akan berlaku
percanggahan kepentingan (conflict of intersest)? Sepatutnya saudara
elakkan perkara ini daripada berlaku.Ini satu kecuaian saudara.
14. Apa tujuan sebenarnya saudara hendak bentangkan RUU(LPHJ) hari
Isnin ini? Adakah saudara mahu melihat institusi raja di Johor ini lebih
cepat berkubur apabila rakyat marah. Seperti apa yang berlaku dalam
Revolusi Perancis dan dekat di sini Revolusi Sosial di Indonesia? Jangan
orang melawak akhirnya di dunia ini tinggal raja dan permaisuri daun
terup atau daun pakau sahaja. Tinggal raja lekuk, raja sepit dan suku
sakatnya.
15. Saudara perlu bertanggungjawab selaku mamak menteri atau Menteri
Besar jika peristiwa pemberontakan ke atas raja dan sultan berlaku di
Johor. Ingat semula kisah benar Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di Kota
Tinggi.
Di Pengerang, beratus-ratus nelayan miskin dari pelbagai kaum, tetapi
majoritinya Melayu, periuk nasi mereka seperti “dicampak pasir” apabila
pasir-pasir di tengahlaut disedut oleh Syarikat Mados Sdn Bhd dengan
kelulusan Kerajaan Negeri Johor untuk ditambak di kawasan tangkapan ikan
para nelayan tersebut untuk tujuan membina satu projek terminal laut
dalam milik syarikat-syarikat besar. Syarikat Mados Sdn Bhd ini sebuah
syarikat milik Sultan Johor.
16. Jadi saya nasihatkan sebelum Sultan Johor jadi mangsa skandal
penghinaan yang lebih parah, lebih baik saudara tarik balik RUU(LPHJ)
itu. Pinda semula. Gugurkan semua peruntukan yang memberi kuasa kepada
Sultan dalam enakmen itu. Jangan heret Sultan ke dalam urusan
pentadbiran kerajaan negeri.
Saudara sebagai Menteri Besar dan para Exco saudara dalam Jemaah
Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mesti pikul tanggungjawab atau
akauntabiliti dalam sistem demokrasi berparlimen. Baru ada fungsi Dewan
Undangan Negeri untuk lakukan semak dan imbang/check and balance.
Jika saudara silap, atau gagal, dalam pilihanraya umum nanti rakyat
ada remedi untuk ganti kerajaan saudara dengan kerajaan lain pilihan
rakyat. Rakyat tidak perlu marahkan Sultan. Sultan tidak bertanding
dalam pilihanraya.
Sekian sahaja surat saya ini. Harap maaf jika ada tersilap kata dan bahasa.
Terima kasih.
Yang benar,
Hassan Karim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment